Karier mula bercabang Anis_Suraya

Sekembalinya beliau ke negeri kelahirannya, Terengganu Darul Iman, karier seninya terus berkembang. Dengan berbekalkan namanya yang masih lagi utuh dalam industri muzik tanahair, beliau telah menyertai badan kesenian dan kebudayaan negeri Terengganu iaitu Taman Budaya yang kini dikenali sebagai Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Terengganu di Kuala Terengganu. Perjuangan dalam memartabatkan seni dan budaya Terengganu melalui seni tari, nyanyian lagu rakyat negeri dan Gamelan Melayu, beliau sering dijemput mengadakan persembahan di serata Malaysia dan di luar negara termasuk di Brunei Darussalam dan Singapura.

Pada pertengahan tahun 2004, beliau bersama Kontijen Kebudayaan Negeri Terengganu telah diundang untuk mengadakan persembahan kebudayaan di International Dieppe Kites Festival 2004 di Paris selama 2 minggu. Pada tahun yang berikutnya, beliau telah menerima tawaran pertama sebagai wanita bersyair bagi Teater Sultan Zainal Abidin 3 yang diadakan di JKKN dan merupakan kemunculan sulong di pentas teater. Pada pertengahan tahun 2005, beliau bersama Unit Kebudayaan Taman Budaya yang dipimpin oleh Abdul Rahim Shamsuddin - koreografer berpengalaman telah menghasilkan satu teater muzikal yang berjudul Pecah Ruyung, iaitu teater muzikal yang julung kalinya diadakan di bumi Terengganu Darul Iman dengan mengetengahkan pelakon-pelakon teater yang terhebat digabungkan dengan penari-penari kebudayaan yang sememangnya berkebolehan dan berpengalaman. Persembahan teater muzikal itu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutamanya di kalangan anak-anak muda Terengganu yang ketika itu baru mula mengenali dan merasai impak teater berbentuk muzikal. Pada tahun 2006, beliau telah memulakan kerjanya sebagai artis budaya di bawah Kumpulan Kesenian Muzium Negeri Terengganu sebagai penyanyi, penari dan pemuzik Gamelan Melayu.

Bergambar kenangan bersama kontijen kebudayaan Universitas Semarang, Indonesia.

Beliau turut diundang menjadi pengacara jemputan untuk Festival Gamelan Sedunia 2008, iaitu festival yang julung kalinya diadakan di bumi Terengganu yang mengetengahkan kumpulan-kumpulan Gamelan fantarabangsa seperti Gamelan Melayu Nottingham, UK; Gamelan Gondrong Gunarto, Surakata; CCOM Beijing, China; Gabungan Karawitan Darmasiswa Eropah; Gamelan Sangrila Ubud, Bali; Gamelan Wasabi, Tokyo; Tarian Gastarana, Sumatera Barat dan beberapa lagi kumpulan dari dalam negara.

Walaupun kerjaya seninya sebagai artis rakaman SRC tamat pada awalnya, namun minatnya terhadap dunia nyanyian tidak pernah putus. Bahkan kerjaya seninya semakin berkembang dari semasa ke semasa. Beliau kini bukan sahaja bergelar penyanyi, bahkan beliau juga turut berkecimpung dalam industri pelancongan negeri Terengganu dalam skop seni dan budaya negeri serta bergiat aktif di salah sebuah institusi pengajian negeri dalam membentuk, membimbing dan mengajar pelajar-pelajar institusi khususnya dalam senitari, koir, pengacaraan dan sebagai fasilitator seni dan budaya negeri. Beliau juga aktif mengadakan pro-coaching kelas vokal dan seni persembahan untuk komuniti dan sesiapa yang berminat. Ternyata minatnya dan bakatnya dalam bidang seni tidak dapat disangkal berbekalkan pengalaman dan pencapaian yang pernah dikecapi selama ini telah mematangkan Anis Suraya.